Thursday 7 June 2012

Secangkir Bicara : Ensiklopedia Ramadan

Dengan  lafaz Bismillah dan Alhamdulillah, ku mulai coretan  ini untuk memohon keberkatan  dan limpah rahmat yang berkekalan agar tulisan ini diterima sebagai amalan yang  soleh dan diberkati serta mengikut telunjuk manusia yang terpuji Muhammad saw yang memulakan coretan atau surat dengan lafaz Bismillah. Ini sebagaimana hadis nabi yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah r.a :





كُلُّ أمْرٍ ذِي بَالٍ لاَ يُبْدأُ فِيهِ بِبِسْمِ الله الرَّحْمنِ الرَّحِيْم فَهُوَ أقْطَعُ
Maksudnya : Setiap pekerjaan yang mustahak yang tidak dimulai dengan 
lafaz Basmalah maka ianya terputus (kurang keberkatan).
(Riwayat ar-Rahawi di dalam kitab al-Arbain. Sanadnya Hasan)
كُلُّ أمْرٍ ذِي بَالٍ لاَ يُبْدأُ فِيهِ بِالحَمْدُ للهِ فَهُوَ أقْطَعُ
Maksudnya : “ Setiap pekerjaan yang penting yang tidak dimulai dengan 
Alhamdulillah maka ianya  terputus( kurang barakah)”.
(Riwayat Abu Daud .Sanadnya hasan)


Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan nabi Muhammad  s.a.w.yang membawa  pedoman dan petunjuk yang berkekalan hingga Hari kebangkitan .Juga kepada ahli keluarganya,sahabat-sahabatnya dan yang mengikutinya hingga hari kiamat.

Islam melalui dua kalimah syahadah yang diucapkan adalah merangkumi keseluruhan ajaran Islam dan syariatnya. Solat pula dikerjakan setiap hari sebanyak lima waktu yang merupakan ibadat yang khusus di antara makhluk dan Penciptanya. Manakala Puasa dikerjakan hanya sebulan sahaja di bulan Ramadan dan tidak diwajibkan pada bulan2 yang lain. Adapun Zakat hanya sekali sahaja ditunaikan atau dikeluarkan di setiap tahun bagi setiap individu Muslim .Rukun Islam yang terakhir, haji dikerjakan bagi yang mampu sahaja dan tidak diwajibkan secara mutlak bagi setiap individu Muslim .

Keindahan Islam itu hanya dapat dirasai bagi mereka yang mengamalkan kesemua rukun Islam yang termaktub di dalam ajaran Islam.Amatlah penting kita memahami seluruh ajaran Islam dan hokum-hakamnya supaya kita dapat merasai dan menjiwai keindahan ini di dalam hidup kita.

Sejarah telah terpahat ,bagaimana kesungguhan para salaf al-soleh  pada zaman dahulu di dalam menghayati ajaran Islam di dalam kehidupan mereka.Kesungguhan mereka itu melahirkan barakah yang tidak terhingga banyaknya di dalam kehidupan seharian masyarakat Islam.

Ramadan Karim, bulan yang mulia dan dimuliakan oleh Allah Subhanahu wa Taala sebagai hadiah kepada ummat Nabi Muhammad s.a.w.  Padanya diwajibkan kepada umat Islam berpuasa  yang merupakan rukun yang ketiga daripada rukun Islam.  Ia merupakan ibadah  dan pengorbanan yang khusus untuk Allah Taala .

Di dalamnya,  penuh dengan kerahmatan  dari awal hari hingga ke penghujungnya . Juga penuh dengan susun atur dan perancangan yang direncanakan oleh Allah Taala sebagai manfaat yang berkekalan kepada mereka yang ingin mencari keampunan dan ridhanya.

Sesungguhnya bulan yang agung ini amatlah dinantikan ketibaannya oleh mereka yang beriman  dengan sebenar-benarnya. Iaitu mereka yang mempunyai matlamat  ingin mengikat kesemua kehidupan mereka dengan berpegang dengan tali dari Allah (al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya saw.

Alangkah bahagianya mereka yang menghayati dan mempelajari apa yang tersurat dan tersirat dari bulan ini .Segala-galanya bermula di sini (di bulan Ramadan) jihad dan pengorbanan,matlamat dan tuntutan ,kerahmatan dan keampunan, musibah dan kesabaran, syuga dan balasan baik ,cahaya dan petunjuk  dan sebagainya. Bagi umat Islam di mana-mana mereka berada, bulan Ramadan disambut dengan penuh  kemuliaan dan kemeriahan.

Di dalam risalah ini penulis akan mengaitkan bulan Ramadan ini dengan unsur-unsur aqidah ketuhanan dan keimanan , hukum syariat  Islam  dan yang terakhirnya Al-ihsan  iaitu martabat tertinggi di dalam ilmu Tasawwuf atau akhlak  .

Penulis juga akan cuba mengimbau kembali sejarah dan perjuangan umat Islam yang berlaku pada bulan Ramadan ini. Ini disebabkan kadang kala  kita umat Islam hari ini sering  terlupa tentang hakikat sebenar yang ada pada bulan ini dan  lalai daripada mengambil pengajaran daripadanya.

Mudah-mudahan dengan tulisan  ini, dapat memberi sedikit inspirasi  yang berkesan dan pengetahuan  kepada semua umat Islam di setiap lapisan masyarakat  lebih –lebih lagi bagi para pelajar Islam di dalam kajian-kajian mereka  .

Ia juga insya Allah dapat memberi pedoman  kepada orang  bukan Islam dan orang Islam yang terpesona  dan terpengaruh dengan tamadun barat(modernism)  bahawa agama yang mulia ini bukankan  jumud  dan tidak mengikut peredaran zaman. Ini  seperti yang diperkatakan dan diwar-warkan di dalam media massa barat. Ajaran Islam dan hukum –hakamnya   bersifat  anjal (fleksibel) dan berubah  mengikut  kesesuaian  waktu, keadaan dan tempat. Itulah keindahan yang ada pada  agama Islam  yang tidak terdapat di dalam agama-agama yang lain.

Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada isteri, anak-anak, kaum keluarga serta sahabat-sahabat yang banyak membantu dengan buah fikiran dan material di dalam menjayakan penerbitan buku ini.

Akhir kata, segala yang baik dan sempurna  itu datang dari Allah Azza Wa Jalla dan kekurangan  itu datangnya dari hamba yang kerdil ini .Oleh itu, saya amat mengalu-alukan sebarang teguran membina dan cadangan  yang bernas terhadap penulisan yang dhaif ini jika sekiranya ada yang menyimpang dan silap dari segi fakta yang benar, kaedah  keilmuan Islam  dan sebagainya. Semua kitab selain al-Quran tidak maksum (terpelihara) dari sebarang kesilapan dan kesalahan.

Oleh itu , sama-samalah kita berkongsi ilmu dan memartabatkannya di dunia yang fana ini untuk  kebaikan di dunia dan akhirat serta  dapat memelihara  agama yang suci ini agar cahayanya berkemilauan di alam buana ini

Wassalam.
Akhukum Fillah Al-Faqir ila Allah,
Abu Al-Baqir Muhammad. 
23.05.11 -Isnin



2 comments:

  1. Salam Abg nong, kalau dapat Gambar Cover dah boleh masukkan. Ana leh tolong Untuk Promoting di kawasan Pahang ni je InsyaAllah..

    ReplyDelete